Saturday, January 5, 2008

Jenis perceraian di dalam Enakmen Undang2 Keluarga Islam Negeri Selangor 2003

Pendahuluan

Matlamat sesuatu perkahwinan bagi pasangan suami isteri ialah kehidupan yang berterusan di dalam keadaan bahagia dan dirahmati oleh Allah. Allah telah mengariskan tips-tips dan adab-adab dalam mengekalkan hubungan suami isteri, malah Rasulullah juga telah memberikan tips terbaik bagi suami atau isteri memilih pasangan hidup masing- masing berlandaskan empat prinsip utama iaitu agama, keturunan, harta dan paras rupa.

Namun begitu, tidak semestinya garis panduan yang diberikan oleh Allah dan rasul tersebut menjadi panduan hakiki dalam kehidupan manusia. Ini kerana bila diistilahkan seseorang itu mabuk pada cinta, maka semua perkara menjadi manis dan baik belaka. Maka, apabila wujud ketidakserasian dan ketidakfahaman dalam perlakuan pasangan masing-masing, maka hubungan rumahtangga menjadi hambar dan renggang.

Apabila ikatan yang dibina rengang dan tidak boleh dipulihkan lagi, maka Islam memberikan ruang kepada pasangan tersebut untuk menggunakan talak sebagai jalan penyelesaian. Allah telah berfirman dalam surah An-Nisa`: 130 yang bermaksud :

”Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan mencukupkan (keperluan) masing-masing daripada limpah kurniaNya. Dan Allah amatlah luas limpah kurniaNya lagi amat bijaksana”


Takrif talak dan jenis-jenisnya

Talak dari segi bahasa ialah melepas dan terlepas. Manakala dari segi syara`, talak dimaksudkan sebagai merungkai ikatana perkahwinan dengan lafaz talak dan sebagainya

Ulama` Maliki berpendapat bahawa perceraian antara suami dengan isteri boleh berlaku dalam lima belas bentuk iaitu

(1) Talaq ( mengikut jenis-jenisnya)

(2) Ila` ( jika suami tidak melaksanakan sumpah)

(3) Lian

(4) Murtad

(5) Salah seorang suami atau isteri memiliki yang lain (perhambaan)

(6) Kemudaratan ke atas isteri

(7) Perceraian yang dilakukan oleh Pendamai daripada kedua-dua belah pihak antara suami isteri

(8) Pertelingkahan suami isteri mengenai mahar sebelum keduanya bersatu

(9) Suami menghidap penyakit gila,kusta atau sopak

(10) Keaiban-keaiban antara salah seorang suami atau isteri

(11) Suami tidak mampu membiayai nafkah atau membayar mahar

(12) Penipuan

(13) Hilang tanpa berita

` (14) Memerdekakan perempuan hamba sedangkan isteri menjadi hamba

(15) Suami memilih berkahwin dengan hamba sedangkan ada perempuan yang merdeka


Jika dilihat dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ( Negeri Selangor Darul Ehsan) 2003, dapat dilihat beberapa jenis talak yang telah diperuntukkan oleh undang-undang Syariah



Seksyen 47 - Perceraian dengan talak atau dengan perintah Mahkamah

Dalil daripada Al-Quran berkaitan talak ini dapat dilihat dalam surah Al-Baqarah: 229 yang bermaksud:

” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) dipegang terus ( isteri itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik”.

Acara untuk cerai talaq ini telah diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor Darul Ehsan) 2003 dalam Seksyen 47. Perceraian jenis ini difailkan samada oleh suami atau isteri yang hendak bercerai di Mahkamah Syariah setelah usaha-usaha perdamaian telah dilakukan oleh pihak-pihak.Jika dirujuk kepada kehendak Seksyen tersebut, permohonan tersebut hendaklah disertai dengan suatu akuan berkanun yang mengandungi butir-butir berkaitan perkahwinan, sebab-sebab perceraian dan syarat-syarat perjanjian selepas perceraian.

Apabila Mahkamah menerima permohonan perceraian tersebut daripada salah satu pihak, maka Mahkamah akan memanggil pihak-pihak di hadapan Mahkamah dan menyiasat samada pihak satu lagi bersetuju dengan permohonan tersebut.

Sekiranya pihak satu lagi bersetuju dengan permohonan tersebut, maka Mahkamah akan meminta suami melafazkan talak kepada isteri di dalam Mahkamah sekiranya tiada halangan pada isteri iaitu suci daripada haid dan tidak mengandung.

Namun,sekiranya pihak satu lagi membantah permohonan tersebut, maka Mahkamah boleh mengarahkan supaya dilantik Jawatankuasa Pendamai yang terdiri daripada wakil suami dan wakl isteri. Sekiranya wujud perdamaian, maka Jawatankuasa tersebut hendaklah melaporkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak setuju untuk hidup sebagai suami isteri secara baik. Sebaliknya, jika tiada perdamaian yang dapat dicapai, maka perkara tersebut akan dirafa`kan kepada Mahkamah untuk membuat keputusan.

Dalam kes di Melaka, Abdul Razak lwn Siti Jamah yang menuntut membuat permohonan menceraikan isterinya. Usaha perdamaian telah diuat oleh Pegawai Agama Tentera akan tetapi tidak berjaya. Isteri bersetuju dengan permohonan tersebut. Mahkamah memutuskan permohonan cerai diluluskan dan suami telah melafazkan cerai di pejabat Kadi Melaka

Kesimpulannya, dalam memutuskan pengesahan talak di dalam Mahkamah, Hakim membuat pertimbangan bahawa suami bersedia untuk menceraikan isteri dan memerlukan persetujuan isteri untuk diceraikan. Sekiranya tiada persetujuan isteri, maka Mahkamah akan merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Pendamai.


Seksyen 49 – Perceraian Khulu` atau Tebus Talak

Perceraian Khulu` bermaksud isteri menebus dirinya agar dibebaskan oleh suaminya dengan cara mengembalikan mas kahwin yang telah mereka sepakati sebelum ini kepada suaminya

Dalil Khulu` ini disyariatkan berpandukan kepada firman Allah dalam Surah Al-Baqarah : 229 yang bermaksud :

” Oleh itu kalau kamu khuatir kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukuman Allah, maka tidaklah berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya ( dan mengenai pengambilan suami akan bayaran tersebut )”

Jika dilihat kepada peruntukan di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor Darul Ehsan), Mahkamah membenarkan perceraian khulu` apabila suami tidak bersetuju mejatuhkan talaq dengan kerelaannya tetapi perceraian tersebut dibuat secara khulu` dan dipersetujui kedua-dua pihak. Sekiranya pihak-pihak bersetuju dengan talak secara khulu` tersebut, maka Mahkamah akan mengarahkan suami melafazkan talak dan talak tersebut adalah talak bain sughro yang bermaksud tidak boleh rujuk antara kedua belah pihak. Jumlah bayaran tebus talaq tersebut hendaklah dipersetujui oleh suami dan isteri dan sekiranya ada percanggahan, maka Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah yang sepatutnya dibayar oleh isteri mengikut Hukum Syara` berdasarkan pertimbangan taraf dan sumaber kewangan pihak-pihak bertikai.

Walaubagaimanapun, sekiranya suami tidak bersetuju bercerai dengan cara talak khulu` atau tidak hadir ke Mahkamah atau Mahkamah melihat ada kemungkinan berlaku perdamaian di antara pihak-pihak, Mahkamah boleh mengarahkan untuk melantik Jawatankuasa Pendamai.

Contoh kes berkaitan Talak Khulu` ini ialah dalam kes di Kelantan, Talib lwn Sepiah, pihak Plaintif telah menuntut cerai daripada suaminya. Oleh kerana Defendan tidak setuju dengan cerai walaupun dengan tebus talak, maka Mahkamah telah menghukum kes itu diselesaikan dengan cara melantik Hakam. Kedua-dua pihak telah melantik Hakam,tetapi Hakam tidak berjaya menyelesaikan perkata tersebut kerana Hakam Defendan tidak bersetuju bercerai walaupun dengan tebus talak. Kadhi ketika itu, melantik Hakam baru bagi pihak Defendan dan kemudian, Hakam bersetuju mengadakan tebus talak sebanyak RM100.00

Dalam memutuskan kes Talak secara Khulu` atau Tebus Talak, Mahkamah mengambil kira pertimbangan kesediaan isteri membayar jumlah tertentu dan kesediaan suami menerima bayaran tersebut dan melafazkan talak.


Seksyen 50- Perceraiaan di bawah Ta`liq atau janji

Asas undang-undang cerai Ta`liq boleh didapati dari Al-Quran, Surah Al-Maidah,ayat 1 yang bermaksud :

” Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian- perjanjian”


Rasulullah S.A.W juga bersabda yang maksudnya :

” Seorang mukmin terikat dengan perjanjiannya kecuali suatu perjanjian yang membuatkan apa yang halal menjadi haram dan apa yang haram menjadi halal”

( Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ijara)

Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor Darul Ehsan) memperuntukkan bahawa seseorang isteri yang berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat yang terkandung di dalam surat perakuan ta`liq yang dibaca semasa majlis akad nikah boleh memohon perceraian di Mahkamah.


Contoh kes berkaitan Talak Ta`liq ini ialah dalam kes Aminah lwn Ahmad di Perlis, Plaintif telah memohon kepada Mahkamah untuk megesahkan talak yang telah dilafazkan secara ta`liq oleh Defendan semasa majlis akad nikah. Lafaz Ta`liq tersebut berbunyi : “ Jatuh talaq kalau suami meninggalkan isteri,tidak bersedudukan atau tidak memberi nafkah kepada isteri selama sebulan”. Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah meninggalkannya, tidak bersedudukan dengannya dan tidak meberi nafkah mulai November 1969 sehingga Januari 1970. Mahkamah, setelah meneliti keterangan yang diberi oleh Plaintif, Defendan,saksi-saksi Plaintif dan surat lafaz ta`liq Defendan, maka Mahkamah mensabitkan gugur talak ke atas pihak menuntut adalah sabit dan dengan satu talaq atas alasan ta`liq

Mahkamah mempertimbangkan wujudnya lafaz ta`lik menurut undang-undang dan telah berlaku pelanggaran ta`lik sebelum mensabitkan berlakunya cerai ta`lik.


Seksyen 51 – Perceraian dengan li`an

Li`an bermaksud dari segi bahasa menghalau dan menjauhkan. Li`an dari segi istilah ialah beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai hujah oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor Darul Ehsan) memperuntukkan jika pihak-pihak dalam suatu perkahwinan telah bersumpah secara li`an mengikut Hukum Syara` di hadapan Hakim Syarie, maka Mahkamah hendalah memfarakkan nikah mereka,memisahkan dmereka dan hidup berasingan selama-lamanya.


Seksyen 53 – Perceraian secara Fasakh

Asas perundangan bagi Fasakh diambil dari firman Allah dari surah Al-Nisa`:128 yang bermaksud :

” Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya , maka tiadalah salah bagi mereka suami isteri membuat perdamaian di antara mereka berdua kerana perdamaian itu lebih baik bagi merkea daripada bercerai-berai; sedangkan sifat bakhil kedekut itu memang tabiat semulajadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik dalam pergaulan dan mencegah diri daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan”.

Fasakh bermaksud apabila berlaku salah satu atau lebih daripada perkara-perkara yang telah digariskan oleh Syara` dan peruntukan Undang-undang, maka isteri atau suami boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah membubarkan perkahwinan mereka.

Perkara-perkara yang boleh disabitkan untuk seseorang isteri atau suami memohon fasakh yang diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ( Negeri Selangor Darul Ehsan) ialah :

(1) Suami atau isteri tidak diketahui tempat tinggalnya selama tempoh lebih daripada satu tahun

(2) Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan nafkah zahir selama tempoh tiga bulan

(3) Suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih

(4) Suami atau isteri telah tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh satu tahun

(5) Suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan isteri tidak tahu bahawa semasa perkahwinan suami telah mati pucuk

(6) Suami atau isteri gila selama tempoh dua tahun atau mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit

(7) Isteri yang telah dikahwinkan oleh Wali Mujbir sebelum dia mencapai umur baligh dan dia menolak perkahwinan itu sebelum mecapai umur lapan belas tahun dan dia tidak disetubuhi oleh suaminya

(8) Suami atau isteri menganiaya isteri atau suaminya iaitu dengan

(i) lazim menyakiti atau mejadikan kehidupan pihak satu lagi menderita akibat perbuatan aniaya tersebut

(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki-lelaki jahat atau berperangai keji mengikut Hukum Syara`

(iii) memaksa isteri hidup secara lucah

(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta

(v) menghalang isteri atau suami dari menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya

(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut Syara`

(9) Isteri masih tidak disetubuhi oleh suami walaupun setelah empat bulan berlalu kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya

(10) Isteri tidak izin akan perkahwinannya sendiri atau izinnya tidak sah samada kerana dipaksa, kesilapan, ketidak sempurnaan akal atau hal keadaan lain yang diakui Hukum Syara`

(11) Isteri sakit otak,walaupun semasa perkahwinan tersebut dia berkebolehan memberi izin yang sah dan sakitnya itu berterusan atau berselangan dan sakitnya adalah dari satu jenis atau setakat tidak melayakkan dia berkahwin

(12) Apa-apa alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Syara`

Sekiranya sabit perkara di atas bagi salah satu pihak daripada salah satu atau lebih daripada perkara yang telah disebutkan, maka Mahkamah boleh memfasakhkan nikah pihak-pihak tersebut.

Contoh kes Joan Mary Sulaiman lawan Sulaiman, pihak-pihak telah bernikah di Australia pada tahun 1961. Selepas suami menghaiskan pelajarannya di Australia, mereka telah balik tinggal di Kelantan. Kemudiannya, sumai telah berkahwin lain dan selepas itu,suami telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri pertama. Isteri telah membuat tuntutan memohon fasakh dengan sebab bahawa suami telah cuai dan tidak mengadakan nafkah zahir, suami telah tidak menunaikan nafkah batin dan suami telah cuai dan tidak melayani Plaintif sebagai isteri pertama yang adil mengikut Hukum Syara`. Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mensabitkan tuntutan fasakh dan memfasakh nikah pihak Plaintif dengan suaminya [6].


Kesimpulan

Apa yang telah dijelaskan oleh Syariat Islam berkaitan Talak menunjukkan bukti-bukti penting menunjukkan hukum hakam Islam sesuai dengan fitrah dan keperluan manusia.

Penyelesaian kepada talak merupakan jalan terakhir yang perlu digunakan oleh pasangan tersebut bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Jika talak digunakan untuk menunjukkan kekuasaan suami kepada isteri dan atas alasan nafsu sahaja, maka jadilah talak tersebut sebagai perkara halal yang dimurkai oleh Allah

3 comments:

mimi@khairul.com said...

Assignment saya untuk DSLA di UiTM...

Anonymous said...

thanks, anyway i need kes kes yang berkaitn with cerai tebus talak, can u help me? this my emel dale1307@hotmail.com, plez reply me

Anonymous said...

1)sekiranya isteri sudah tiada perasaan cinta dan sayang pada suami disebabkan perbuatannya sendiri dan keluarga mertua juga masuk campur sehinggaka tidak dapat jalan penyelesaian?apa mahkamah dapat tolong bagi pihak isteri?
2)seandainya suami tidak mahu menceraikan isteri, dan isteri ingin membuat fasakh, adakah kemenangan bagi pihak isteri?